KUALA LUMPUR: Baru sahaja diterbitkan Ogos lepas, Sukuk Kelestarian SME Bank mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat dua pengiktirafan antarabangsa di ‘15th Annual Deal and Solution Award 2021’.

Sukuk tersebut menerima Anugerah Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) Hijau Asean Terbaik dan Anugerah Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) Terbaik.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, pengiktirafan di peringkat antarabangsa itu menunjukkan usaha diambil SME Bank untuk menerbitkan Sukuk Kelestariannya diperakui malah mencapai standard peringkat dunia.

“Ini adalah satu pencapaian yang perlu dibanggakan dan ia juga membuktikan bahawa permintaan terhadap Sukuk Kelestarian mula meningkat dalam industri pasaran modal negara.

“SME Bank akan menggunakan terbitan Sukuk Kelestarian ini bagi menawarkan kemudahan pembiayaan yang berinovatif untuk PKS, bagi projek-projek berteraskan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Projek-projek itu dijangka memberi impak positif kepada masyarakat dan persekitaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, penerbitan sukuk itu akan digunakan untuk membiayai projek yang terangkum di bawah 11 daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG PBB).

“Penerbitan Sukuk Kelestarian sulung bernilai RM500 juta di bawah program keseluruhan bernilai RM3.0 bilion ini juga dilihat akan menyokong pelaksanaan fokus ke-3 Bajet 2022.

“Ia melibatkan Ekonomi yang Makmur dan Mampan serta RMK-12 untuk mengukuhkan Agenda Kelestarian negara,” ujarnya.