NATIONAL
Suspek belasah pemandu hingga patah 7 gigi ditahan

Ketika berada di lampu isyarat, mangsa dikatakan menegur pemandu kenderaan bersebelahan kerana tidak memberikan isyarat untuk masuk ke lorong laju, sebelum dipukul. - Gambar/ PDRM
KOTA KINABALU: Lelaki yang membelasah seorang pemandu menggunakan cota sehingga tujuh giginya patah dalam kejadian di Jalan Kolam, di sini, pada Isnin, sudah ditahan polis hari ini.
Suspek yang juga warga Filipina berusia 35 tahun ditahan polis di kawasan Kepayan di sini, jam 2 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kereta dan senjata yang digunakan dalam kejadian itu dirampas bagi membantu siasatan lanjut.
"Suspek adalah warganegara Filipina dan berada di negara ini secara sah menggunakan pasport.
"Esok suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Habibi berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera," katanya.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa berusia 21 tahun yang memandu kereta jenis Honda S660 dikatakan berselisih dengan sebuah Perodua Alza.
Ketika berada di lampu isyarat, mangsa dikatakan menegur pemandu kenderaan bersebelahan kerana tidak memberikan isyarat untuk masuk ke lorong laju.
Pemandu kereta terbabit kemudian dikatakan bertindak memecahkan cermin kereta mangsa dengan menggunakan batang besi dan memukulnya menggunakan cota.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami