Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan seorang wanita yang dipercayai menipu pakej pelancongan hingga menyebabkan mangsa, termasuk artis kerugian puluhan ribu ringgit, ditahan reman selama dua hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd Azali Ibrahim.

Semalam wanita berusia 36 tahun tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya kira kira jam 3 petang.

Suspek dibawa ke mahkamah kira-kira jam 10.45 pagi tadi dan dilihat keluar sekitar 15 minit kemudian selepas mahkamah membenarkan permohonan polis untuk menahan reman.

BACA: Percutian pelakon, pengarah filem ke Korea terjejas akibat ditipu

Dua hari lepas, media melaporkan pelakon Den Wahab dan pengarah Aziz M Osman, membuat laporan polis ke atas wanita terbabit selepas mendakwa menjadi mangsa penipuannya.

Turut membuat laporan polis adalah agensi pelancongan, yang namanya digunakan suspek ketika menipu mangsa.

Kedua-dua artis terbabit mendakwa kerugian kira-kira RM90,000 selepas ditipu seorang wanita yang mengaku mempunyai agensi pelancongan dan menawarkan pakej melancong ke Korea Selatan selama lima hari empat malam.

Setakat ini, enam laporan berkaitan kes penipuan pakej pelancongan dibuat, dengan dua daripadanya dibuat dalam daerah Petaling Jaya dan masing-masing satu di Dang Wangi, Gombak, Serdang dan di Seremban.

Siasatan awal polis mendapati, suspek tersenarai sebagai orang yang disyaki berkaitan tujuh kes penipuan pada tahun lalu.