JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hanya membuat permohonan pemberian bakul makanan dari rumah ke rumah dan bukannya pemberian bakul makanan secara berpusat di Pejabat Parlimen Muar.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Muar telah mengarahkan agar program itu dihentikan.

Menurut beliau, arahan berkenaan dikeluarkan selepas pemantauan yang dibuat pegawai terbabit mendapati program itu dihadiri lebih 100 orang, selain tiada penjarakan sosial dan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mahu menjalankan aktiviti, adalah dibenarkan, namun, mereka perlu dapat kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah.

“Saya difahamkan permohonan ada dibuat oleh Syed Saddiq, tetapi permohonan hanya untuk mengedarkan bakul makanan dari rumah ke rumah. Penguatkuasa Kesihatan Daerah telah ke tempat itu dan arahkan majlis dihentikan, dan arahan itu bukan dari pihak polis.

“Mahu buat program boleh, tetapi perlu patuh SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya ketika diminta mengulas situasi pemberian bakul makanan oleh Syed Saddiq sehingga pejabat parlimennya diarah tutup.

Jelas Ayob Khan, pihak berkuasa hanya memberi amaran dan tiada sebarang kompaun dikeluarkan.

Terdahulu, di media sosial Syed Saddiq memaklumkan pejabat parlimennya diarah tutup bermula hari ini ekoran terlalu ramai penerima bantuan yang hadir beratur di luar pejabat.

Beliau berkata, kebiasaannya jumlah keluarga yang datang meminta bantuan sekitar 150 orang, namun jumlah keluarga yang datang semakin meningkat sejak dua hari lalu.

Sejak dua hari lalu juga pasukannya telah bekerja untuk mengagihkan bantuan makanan kepada 5,000 keluarga di Muar.

 
Sumber Facebook syedsaddiqofficial