Menceritakan perkara itu, Penolong Pegawai Pertahanan Awam Daerah Petaling SM (PA) Muhammad Eqmal Haqimi Sufian, berkata ia merupakan operasi pertamanya sejak menjadi pegawai dalam APM.
Katanya, pada jam 11.15 malam ketika dia dan petugas lain membuat pememantauan di bahagian tengah Seksyen C di lokasi kejadian sambil beberapa mesin jengkaut melakukan kerja-kerja mengorek pasir, dia ternampak petanda baharu.
Katanya, dia melihat beberapa barangan seperti khemah, pakaian, selimut dan tilam, sekali gus memberi harapan penemuan mayat mangsa di kawasan itu.
Dia berkata, dengan menggunakan jengkaut secara berhati-hati, mereka kemudian memberi tumpuan di kawasan itu sebelum ternampak objek seperti tubuh terbaring.
"Saya yakin ia adalah mayat kanak kanak berumur dalam lingkungan lima ke tujuh tahun yang tidak pasti jantinanya kerana penuh diselaputi tanah selut.
"Pada ketika itu saya berada dalam jarak 10 meter dari lokasi yang dikorek. Saya terus bergerak ke arah objek tersebut tetapi kaki saya tersangkut dan terbenam hingga ke paras paha dan tidak boleh bergerak.
"Saya meminta bantuan penyelamat yang lain untuk mengeluarkan kaki saya yang terbenam tetapi agak sukar dan akhirnya kasut saya tersangkut di dalam tanah, saya terjengket-jengket untuk pergi ke arah objek tersebut bersama rakan penyelamat yang lain.
"Mesin jengkaut kemudian mengorek di beberapa bahagian lain berhampiran mayat yang dijumpai, setelah tanah digemburkan, kami terus mengeluarkan mayat mangsa menggunakan pengusung yang disediakan," ujarnya.
Katanya lagi, agak sukar untuk bergerak di sekitar lokasi itu dan sesiapa sahaja boleh terbenam pada bila-bila masa jika tidak cuba keluar dengan segera.
"Selepas membawa keluar mayat mangsa yang dijumpai, saya menarik nafas lega dan puas hati kerana setelah beberapa hari mencari akhirnya dapat mencari mangsa seterusnya.
"Malah saya rasa semua penyelamat telah mendapat semangat tambahan untuk terus berusaha mencari mangsa yang masih belum dijumpai," katanya.
Tambahnya, pada malam tadi, pencarian diteruskan sehingga jam 12 tengah malam dan disambung semula pagi tadi.
"Walaupun saya kehilangan sebelah kasut, saya rasa bersyukur dan berpuas hati kerana pencarian mangsa membuahkan hasil dan memberikan semangat tambahan meneruskan misi pencarian.
"Inilah operasi saya yang pertama kali sejak menjadi Pegawai APM dan merupakan pengalaman yang sangat bermakna buat saya, saya berharap akan dapat memberikan sumbangan tenaga sebagai anggota penyelamat dan berjasa untuk agama, bangsa dan negara," katanya lagi.
Insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan di jalan Batang Kali- Genting Highlands yang turut memusnahkan sebahagian tapak perkhemahan Father’s of Organics Jumaat lalu mengorbankan 26 mangsa setakat ini.
[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Mayat ke-26 lelaki dewasa ditemukan