AMPANG JAYA: Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan bantuan khas RM500 kepada 24 keluarga yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, di sini.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bantuan segera itu disalurkan terus bagi meringankan beban mangsa.

“Buat sementara ini, pihak kerajaan negeri beri bantuan awal RM500 kepada semua keluarga yang terkesan untuk mereka gunakan termasuk berpindah dalam tempoh dua atau tiga hari, atau kos mengeluarkan barang dan sebagainya.

“Dari semasa ke semasa kita akan dapatkan maklum balas apa yang perlu kita lakukan.

“Menjelang tiga atau empat hari, saya akan maklumkan adakah tempat ini selamat, dan kita akan lihat tindakan susulan sama ada perlu berpindah, atau langkah susulan lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

BACA: Tanah runtuh di Kemensah Heights dipercayai akibat aliran air bawah tanah - Bomba

Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights.

Dalam kejadian pada Jumaat malam, sebanyak 19 rumah teres dua tingkat membabitkan 28 keluarga terjejas akibat insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.


[TERKINI] Perkembangan semasa kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights