KUALA LUMPUR: Tempoh kuarantin wajib di Labuan bagi pengembara yang sudah lengkap divaksinasi dipendekkan kepada lima hari.

Bagaimanapun, semua kemasukan wajib menjalani ujian saringan Rt-PCR tiga hari sebelum melakukan perjalanan selain digalakkan lengkap dua dos vaksin.

Menurut kemas kini Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan, peraturan itu berkuatkuasa mulai semalam (1 September).

‘’Kuarantin lima hari melibatkan penduduk asal Labuan yang menjalankan kuarantin di rumah dan warga luar Labuan yang menjalani kuarantin di hotel.

‘’Malah ia juga terpakai kepada penjawat awam yang menjalani kuarantin sama ada di rumah atau hotel,’’ katanya.

BACA: PPN: Labuan kini Fasa 4, Negeri Sembilan masuk Fasa 2

Bagaimanapun, MKN Labuan turut memaklumkan, ujian saringan RTK Antigen wajib dilakukan pada hari keempat kuarantin.

Manakala bagi tiga kategori tersebut yang belum mendapatkan vaksinasi lengkap wajib menjalani kuarantin 10 hari dan melakukan ujian RTK Antigen pada hari kelapan kuarantin.

Selain itu, kuarantin dikecualikan kepada mereka memasuki labuan menerusi Green Buble dan kurang daripada tempoh tiga hari atas urusan rasmi.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Labuan menjadi wilayah pertama yang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).


[TERKINI] PPN: Labuan beralih ke Fasa 4, Negeri Sembilan masuk Fasa 2