BANGKOK: Tiada alternatif lain kepada penyelesaian masalah di Selatan Thailand, kecuali keamanan.

Tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa sama beliau juga sedar bahawa keamanan hanya boleh dicapai menerusi prinsip keadilan dan sikap ‘ihsan’ seperti mana yang diterapkan dalam Islam.

“Kalau kita terus menerapkan perkara ini, maka saya percaya kita boleh mencari penyelesaian terhadap masalah di Selatan Thailand,” kata Perdana Menteri di hadapan pemimpin komuniti Islam Thailand di Bangkok selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Thailand, Ramkhamheang, di pinggir kota Bangkok.

Anwar merujuk kepada kitaran ketegangan di Selatan Thailand yang memuncak sejak 2004 sehingga kini dan telah meragut lebih 7,000 nyawa dimana Malaysia merupakan fasilitator kepada proses dialog damai berkenaan.

Perdana Menteri mengambil kesempatan menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Thailand, Ramkhamheang, di pinggir kota Bangkok hari ini. - Foto BERNAMA

Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan beliau juga sudah menyampaikan hasrat untuk meningkatkan kerjasama di negeri-negeri utara Malaysia (Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan) dan wilayah-wilayah Selatan Thai kepada rakan sejawatnya dari Thailand, Prayut Chan-o-cha.

“Bekerjasama dalam pembangunan bersama, pertumbuhan yang lebih di kawasan sempadan, lantas merangsang pembangunan (di kawasan berkenaan),” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut meluangkan masa untuk menyantuni jemaah di pusat berkenaan.

Umat Islam membentuk lima peratus daripada keseluruhan populasi Thailand. - Foto BERNAMA

Ketika berucap, beliau turut menyatakan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Thailand kerana terus memupuk hubungan baik dengan umat Islam di negara berkenaan.

Umat Islam membentuk lima peratus daripada keseluruhan populasi Thailand.

Bagaimanapun konsentrasi penduduk Islam paling ramai tertumpu di wilayah-wilayah Selatan Thailand seperti Yala, Narathiwat dan Pattani dengan jumlah penduduk Islam di wilayah-wilayah berkenaan mencecah lebih 70 peratus.