GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan tiada hujan direkodkan semasa atau selepas dua operasi pembenihan awan dilakukan di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, pada Selasa lepas dan semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya K.Pathmanathan berkata perkara itu berkemungkinan disebabkan keadaan atmosfera dan awan yang tidak begitu menggalakkan pada masa tersebut.

"Jika tiada awan, awan tidak mencukupi atau jika suhu udara terlalu tinggi untuk titisan air terbentuk di awan, pembenihan awan mungkin tidak merangsang sebarang hujan dan ia (pembenihan awan) biasanya boleh merangsang lebih banyak hujan jika terdapat awan hujan pada ketinggian tertentu.

"Oleh kerana tiada hujan direkodkan, dua operasi pembenihan awan itu tidak meningkatkan kapasiti efektif kedua-dua empangan buat masa ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PBAPP berharap Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menugaskan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menjalankan operasi pembenihan awan tambahan di Pulau Pinang pada bulan depan.



PBAPP-HUJAN 2 (AKHIR) GEORGE TOWN



Beliau berkata kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah rendah pada 5 Feb lepas namun meningkat sebanyak 4.2 peratus menjadikannya daripada 32.8 peratus kepada 37 peratus pada hari ini.

"Walaupun terdapat hanya 45 milimeter (mm) hujan di KTA Empangan Air Itam dan cuaca panas, peningkatan ini adalah kerana pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024)," katanya.

Pathmanathan berkata menerusi AIDAP 2024, PBAPP mengurangkan pelepasan harian dari Empangan Air Itam sebanyak 75 peratus menyaksikan pengeluaran air terawat Loji Rawatan Air (LRA) Empangan Air Itam juga menurun sebanyak 66 peratus.

Katanya dalam usaha memastikan bekalan air mencukupi di Air Itam, PBAPP mengepam 33 juta liter air terawat sehari dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai ke kawasan perkhidmatan LRA Air Itam.

"Kejayaan AIDAP 2024 bagi mempertahankan Empangan Air Itam sehingga musim hujan berikutnya bergantung kepada tiga faktor utama iaitu ketersediaan air terawat yang mencukupi dari LRA Sungai Dua dan air mentah dari Sungai Muda, Kedah.

"Selain itu, faktor aliran masuk air mentah yang mencukupi ke lima muka sauk air mentah bagi Empangan Air Itam dan LRA Air Itam di Pulau Pinang dan faktor ketiga adalah penggunaan air secara berhemat oleh 30,000 pengguna air di kawasan perkhidmatan bekalan air Air Itam," katanya.

-- BERNAMA