ALOR SETAR: Tiada keperluan mendesak untuk membina Transit Aliran Ringan (LRT) di Langkawi dan kerajaan Kedah sepatutnya memberi keutamaan kepada isu rakyat yang lain seperti masalah bekalan air, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Datuk Mahfuz Omar.

"Sepatutnya dia (Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) perlu selesaikan masalah air di Kedah, jangan asyik berangan hendak pindahkan isu ini dengan pembinaan LRT...tak salah berangan tetapi siapkan dulu perkara yang menjadi keutamaan rakyat.

"Masalah air ini janji selesaikan kerana ini menjadi keutamaan kepada kehidupan rakyat. Terlalu banyak pengumuman (projek) yang dibuatnya sebelum ini tetapi tidak menjadi kenyataan," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran beliau di sini, hari ini.

Mahfuz berkata kerja-kerja menaik taraf loji rawatan air (LRA) di negeri itu yang sepatutnya menjadi keutamaan juga masih belum disiapkan, selain pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan litar lumba di Sungai Petani.

Menurutnya Bandar Raya Alor Setar dilihat mempunyai kesesakan trafik yang lebih tinggi berbanding Langkawi, namun belum cukup mendesak untuk dibina LRT.

"Langkawi pun kalau hendak dikira dari hujung sana sampai hujung sini, berapa jauh sangat...biarlah, beri peluang kepada mereka yang duduk di Langkawi untuk buat perniagaan menyewa kereta atau van," katanya.

Semalam, Muhammad Sanusi menyaksikan majlis menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara anak syarikat kerajaan negeri Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan syarikat Korea Selatan, Royal Eco Train Development (RETD) bagi melaksanakan kajian untuk mewujudkan sistem pengangkutan canggih di Langkawi melibatkan pembinaan LRT.

-- BERNAMA