KUALA NERANG: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin secara berseloroh menyatakan bahawa belum menerima sebarang pencalonan untuk mengetuai sebuah parti baharu yang dijangka dirasmikan pertengahan bulan ini.

Menurutnya, sebagai rakyat di sebuah negara demokrasi, sesiapa sahaja layak untuk menubuhkan apa-apa parti selagi ianya dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada negara.

Penubuhan sesebuah parti baharu juga jelasnya perlu selari dengan misi untuk membangunkan negara Malaysia selain dapat menjadi wadah untuk membantu rakyat jelata.

"(Malaysia) ini negara demokrasi, whoever want to start a party, let them start the party as long it bring goodness to the country why not?

"Parti (baharu tu saya rasa) belum ada nama lagi, macam mana nak tahu (saya Presiden ke apa?) Tidak ada (nama) orang nak pimpin lagi, siapa nak pimpin? (Berkaitan pencalonan sebagai "Presiden Parti Bangsa Malaysia) saya belum lagi dapat (mana-mana) pencalonan?

"(Sebenarnya) mana-mana orang dalam apa pun parti politik, sama ada dalam kerajaan dia kena fikir untuk membangunkan negara dan membantu rakyat, itu yang penting, jadi kalau (tubuh) 10 parti ke 20 parti ke kalau niat sama (mahu lihat) negara ini membangun, (boleh sahaja) namun kalau niat dia lain (dari itu) negara tak boleh membangun, itu amat penting orang nak membangunkan negara itu yang penting,

"(Adakah akan keluar Bersatu untuk pimpin parti baru?) Parti apa?" katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Stesen Penyelidikan Sungai Sari (SPSS), Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Padang Sanai, Pdang Terap pada Rabu.

Sebelum ini, sebuah portal tempatan yang memetik sumber melaporkan Zuraida bakal mengetuai sebuah parti baharu yang dikenali Parti Bangsa Malaysia yang mana telah  diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS), 29 Oktober lalu.

Bagaimanapun parti berkenaan tidak melibatkan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seperti digembar gembur sebelum ini.

Parti itu juga dikatakan akan turut disertai Ahli Parlimen Julau, Larry Soon @ Larry Sng, dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar.