TAWAU: Anak pemandu e-hailing yang dibunuh di sebuah ladang kelapa sawit memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pada mulanya dia tidak dapat mengecam bapanya ketika diminta berbuat demikian di Hospital Besar Tawau kerana mayat lelaki itu dalam keadaan 'kembung.'

Bagaimanapun, Mohd Norazrie Nurman, 36, berkata dia kemudian dapat mengecam mayat Nurman Bakaratu, 61, berdasarkan beberapa ciri selain mangsa memiliki satu buah pinggang.

Nurman dibunuh pada 13 Jan 2023 dan mayatnya ditemukan tiga hari kemudian.

"Saya diminta hadir ke Hospital Tawau oleh ASP Yusman Shari Marinsah... saya dibawa oleh pakar perubatan ke bilik mayat dan nampak jenazah namun pada mulanya tidak dapat membuat pengecaman kerana mayat dalam keadaan kembung.

"Bagaimanapun, ada ciri istimewa pada tubuh badan bapa iaitu ibu jari kaki kanan terdapat kerosakan pada hujungnya," kata saksi keenam pendakwaan itu semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Mohd Norazrie berkata demikian pada hari kedua perbicaraan kes bunuh Nurman membabitkan lapan tertuduh iaitu bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) SAC Datuk Mat Zaki Md Zain, enam anggota polis dan seorang awam.

Rosdi Rastam, 45, Denis Anit, 45, Fabian Rungam, 44, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 40, John Kennedy Sanggah, 44, dan Vivien Fabian, 34, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5 di sini di antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Jan tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mat Zaki, 59, pula berdepan dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Semasa disoal peguam Hairul Vaiyron Othman, Mohd Norazrie bersetuju bahawa dia tidak dapat memastikan 100 peratus jenazah yang berada di hospital semasa proses pengecaman adalah bapanya.

Penolong pengurus ladang di Tongod itu berkata ibu bapanya yang berkahwin pada 1985 telah bercerai selepas dia tamat sekolah Tingkatan 5 serta memaklumkan bahawa dia tidak tahu Nurman sudah berkahwin lain dan kemudian bercerai.

Dia juga tidak tahu Nurman telah pergi ke sebuah premis hiburan serta merampas telefon bimbit bekas isterinya beberapa hari sebelum dibunuh dan tidak tahu sama ada kereta jenis Myvi yang ditemukan bersama mayat lelaki itu adalah kenderaan yang digunakan mangsa semasa tinggal di Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin pula memaklumkan mahkamah bahawa beliau ke lokasi kejadian pada 16 Jan 2023 dan berada di situ antara 10 hingga 15 minit.

Ketika tiba di tempat kejadian, saya melihat keadaan mayat dalam kedudukan terlentang di sebelah kiri kenderaan Perodua Myvi berwarna putih," kata saksi pendakwaan kelapan itu.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA