Siapa sahaja yang mengetuai jentera parti pilihan raya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah tidak penting, tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sebaliknya, Mohamad berkata, parti Barisan Nasional (BN) perlu bersatu padu kerana keutamaan adalah untuk kemenangan parti.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua ahli menerima keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan parti dengan hati terbuka.

“Semua mesti faham siapa yang mengepalainya (PRN) tak penting yang penting parti kita nak menang sebab bila parti masuk piilihan raya tujuan kita adalah nak menang pilihan raya.

“Kalau pilih siapa pun sama juga, kerana kita kena faham bahawa keutamaan kita adalah keutamaan parti,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi ramah mesra bersama pengundi di sekitar Pekan Slim River.


BACA: Sabah Memilih: Biar Bung Moktar ketuai jentera adalah langkah 'bunuh diri' - Rahman Dahlan

Mengulas lanjut, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, BN berdepan cabaran besar untuk mengambil alih Sabah daripada kerajaan di bawah pimpinan Warisan.

“Untuk menang di Sabah bukan mudah kerana kita akan berhadapan dengan kerajaan sedia ada yang mempunyai kelebihan.

“Kerajaan sedia ada di Sabah, kerajaan Warisan akan menggunakan segala kekuatan yang ada untuk mempertahankan kerajaan mereka.

“Kita pula perlu bekerja kuat untuk pastikan rakyat atau pengundi memberikan sokongan kepada kita,” katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan parti melantik Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Ketua Jentera Pilihan Raya parti itu untuk PRN Sabah bulan depan.

BACA: Sabah Memilih: Hormati keputusan saya - Zahid Hamidi