Skip to main content

Malaysia

Tiga beradik maut: 'Saya nampak jasad bergelimpangan, abang paling parah'

Norimah (kanan) dan Nor Daniel Irfan (dua, kiri) ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian pada Khamis. -Foto Sinar Harian
Norimah (kanan) dan Nor Daniel Irfan (dua, kiri) ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian pada Khamis. -Foto Sinar Harian

Advertisement

PONTIAN: "Bila tiba di lokasi, saya nampak jasad bergelimpangan. Abang mereka pula memang parah."

Demikian kata Norimah Khamis, 40, ibu saudara kepada tiga beradik yang maut dalam nahas membabitkan motosikal dan lori di Jalan Parit Haji Siraj, di sini, pada Khamis.

Norimah antara yang terawal tiba di lokasi sebaik dimaklumkan mereka terbabit kemalangan.

"Adik saya telefon dan beritahu Echa (Puteri Naufal Raisya Norlizan, 8), sudah tiada, abang dia (Nor Daniel Aiman, 18) pula kritikal.

"Saya terus ke lokasi dimaklumkan dan apabila tiba, saya nampak seorang kat sana, seorang di sini (atas jalan)... mereka mungkin tercampak.

"Tidak lama kemudian, barulah saya tahu ketiga-tiga anak saudara saya sudah tiada," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian.

Menurut Norimah, lokasi kejadian hanya kira-kira 200 meter dari rumah keluarga mangsa dan mereka ketika itu dikatakan sudah hampir tiba di kediaman.

Beliau berkata ketiga-tiga beradik itu dalam perjalanan pulang selepas ke sekolah sebelum motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan.

Norimah berkata Nor Daniel Fikri Norlizan, 11, seorang yang aktif dalam sukan dan ibunya baru membelikan kasut bola untuknya minggu lalu.

Sementara itu, abang mangsa, Nor Daniel Irfan Norlizan, 19, menyifatkan ketiga-tiga adiknya sebagai individu yang ceria dan sering membantu ibu mereka.

Nor Daniel yang merupakan anak kedua daripada enam beradik kini tinggal bersama nenek mereka di Kampung Puteri Menangis, Benut dan sedang mengikuti pengajian di Kolej Tingkatan Enam.

"Aiman minat membaiki enjin dan bercita-cita menyambung pengajian di GIATMARA.

"Dia banyak membantu ibu di rumah termasuk menghantar adik-adik ke sekolah.

"Ibu pula patah tangan dalam kemalangan ketika menghantar adik ke sekolah kira-kira empat bulan lalu," katanya.

Ketiga-tiga jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Haji Siraj. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement