Kemalangan yang menyebabkan dua beranak terbunuh pada Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota di sini awal Ahad berpunca daripada tiga go-kart bergesel sesama sendiri.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata pergeselan go-kart bernombor 22, 27 dan 33 itu telah menyebabkan kenderaan bernombor 27 terbabas lalu merempuh penonton berkenaan.

"Siasatan mendapati program merupakan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dan mempunyai permit yang sah.

"Terdapat 38 kenderaan go-kart dalam perlumbaan di dalam litar semasa kejadian.

"Penganjur turut meletakkan penghadang dan tali amaran di sepanjang sebelah kanan jalan sebagai penghadang/pemisah antara penonton dan litar lumba," katanya kepada pemberita di sini, malam semalam.

Mohd Noor berkata kemalangan pada pukul 11.30 pagi itu menyebabkan penyelia kilang di Gebeng Izwan Isa, 38, dan anaknya Nur Zulaikha, lima tahun, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Dalam kejadian itu, anak sulung Izwan, Muhammad Iz Danial, 7, cedera parah dan dirawat di hospital sama, manakala isterinya Siti Suhaiza Seman, 38, seorang guru di Sekolah Rendah Kebangsaan Indera Mahkota, cedera ringan.

BACA: Rempuhan go-kart ragut nyawa bapa, anak

Mereka berasal dari Kota Bharu Kelantan.

Mohd Noor menambah ketiga-tiga pemandu go-kart itu, Azril Ba'ith Razak, 25, pelajar Universiti Multimedia Melaka (MMU); Ahmad Saifuddin Mahamud, 23, dari Institut Kemahiran Belia Negara Wakaf Tapai, Terengganu; dan Mohd Rashid Safuan Mohd Sopie, 19, pelajar di Muadzam Shah tidak cedera.

"Contoh darah dan air kencing ketiga-tiga pemandu go-kart diambil untuk ujian toksikologi Jabatan Kimia," katanya.

Beliau menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melahirkan rasa sedih berhubung tragedi rempuhan go-kart yang meragut nyawa dua beranak itu.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Wahid Omar dalam satu kenyataan di Johor Bahru, berkata selaku penganjur, mereka mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, dan menyerahkan siasatan kepada polis.

Katanya, sejak awal pertandingan, segala aspek teknikal, keselamatan, pemilihan gelanggang dan usaha mendapatkan kelulusan dari Motorsports Association of Malaysia (MAM) - badan yang menguruskan sukan permotoran di Malaysia, dikendalikan UTM.

Malah, menurut beliau, mereka juga telah mengambil langkah keselamatan perlu termasuk meletakkan penghadang air (water barrier), pita keselamatan dan anggota keselamatan di litar perlumbaan bagi mengelakkan kemalangan melibatkan penonton.

"Ini selaras dengan saranan MAM dan perlumbaan di litar terbuka di Indera Mahkota (Pahang) itu telah diperakukan selamat untuk perlumbaan disertai 51 buah pasukan dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta," kata beliau.

Ekoran kemalangan itu, kesemua acara perlumbaan termasuk penyampaian hadiah dan upacara perasmian penutup oleh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dijadualkan pukul 3 petang tadi, telah dibatalkan. -- BERNAMA