KUALA SELANGOR: Pengoperasian tiga loji sisa kepada tenaga (WTE) di Jeram dan Tanjung Dua Belas, Kuala Langat dijangka mengurangkan penggunaan tanah pelupusan sampah lebih 2,000 hektar.
Selain menjana sehingga 90 megawatt (MW) elektrik ke grid nasional, loji ini mampu melupuskan hampir 90 peratus sisa domestik melalui pembakaran sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui, berbanding kaedah pelupusan konvensional.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebelum ini hampir 3,000 hektar tanah digunakan sebagai tapak pelupusan, namun pelaksanaan WTE membolehkan tapak sanitari dialihkan kepada pengurusan sisa industri dan berjadual.
Secara keseluruhan, tiga loji WTE dijangka memproses sehingga 5,500 tan metrik sisa setiap hari daripada enam pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya, Klang, Kuala Selangor, dan Ampang Jaya.
“809 hektar tanah (guna tanah) sebenarnya kita boleh tukar kepada kawasan perumahan, pembangunan ekonomi, zon perniagaan, ataupun perkilangan yang merupakan salah satu daripada usaha yang perlu kita lakukan bagi membangunkan ekonomi.
“Jadi itulah transisi yang disebutkan dalam pengurusan sisa pepejal di Selangor daripada pengurusan di tapak pelupusan sampah yang diuruskan oleh kerajaan negeri melalui Worldwide Holdings Berhad (WHB), kita pergi ke arah pengurusan lebih lestari dengan teknologi terkini seperti WTE,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran WTE 1 Jeram, di sini, hari ini.
WTE 1 Jeram mula beroperasi secara komersial pada 13 Mei lalu dengan kapasiti memproses 1,500 tan sisa sehari serta menjana 26MW, mencukupi untuk kira-kira 26,000 rumah.
Dibina sejak 2023, loji ini beroperasi di bawah konsesi 30 tahun dan menyalurkan tenaga melalui kabel sepanjang lapan kilometer ke Pencawang Masuk Utama Bukit Kapar.
WTE 2 yang terletak bersebelahan masih dalam pembinaan dan dijangka siap seawal Oktober ini.
Amirudin menegaskan operasi WTE 1 mematuhi garis panduan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan pemantauan secara langsung, termasuk kawalan pelepasan toksik dan debu, yang setakat ini berada pada tahap baik.
Sementara itu, cadangan pembinaan WTE di Batu Arang masih dalam peringkat penilaian impak alam sekitar (EIA).