PETALING JAYA: Tiga individu dipercayai penagih dadah ditahan pihak polis selepas mass DNA screening atau ujian DNA secara beramai-ramai dilakukan di Apartmen Idaman, Damansara Damai, dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penangkapan tiga penagih dadah tersebut yang merupakan penduduk di kawasan perumahan tersebut.

Beliau berkata, ujian air kencing dilakukan ke atas ketiga-tiga individu tersebut didapati positif dadah.

Bagaimanapun tegas beliau, kesemua individu yang ditahan itu tidak mempunyai kaitan dengan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

"Kebetulan ketika kami (polis) melakukan mass DNA screening tersebut, ketiga-tiganya positif dadah.

"Oleh sebab itu kita tahan mereka bagi lakukan ujian air kencing untuk tindakan lanjut, namun ketiga-tiganya tiada kaitan dengan siasatan kes pembunuhan arwah Zayn," katanya pada Rabu.

Pada Selasa, Hussein mengesahkan keputusan berkaitan ujian DNA secara beramai-ramai penduduk Apartment Idaman dijangka diperoleh dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

Ujian DNA itu dijalankan sebagai sebahagian daripada 'mass screening' yang dilakukan melibatkan penduduk di Apartment Idaman bagi menjejak pembunuh.

Ahad lalu, polis memaklumkan seramai 228 individu telah diambil ujian DNA melibatkan pemeriksaan unit rumah dan premis perniagaan di sekitar kawasan Apartment Idaman.

Pemeriksaan tersebut dijalankan melibatkan 18 blok yang menempatkan 2,484 unit rumah di kawasan perumahan berkenaan. - Sinar Harian