NATIONAL
TMIYC Pasir Gudang simbol komitmen Kerajaan Johor martabat golongan belia

Perasmiannya disempurnakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada Sabtu sebagai salah satu simbol komitmen kerajaan negeri membangunkan bakat golongan belia di Johor. - Foto FB TMJ
KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Pasir Gudang kini menjadi fasiliti ketiga di Johor selepas kemudahan sama diwujudkan di Johor Bahru dan Muar.
Perasmiannya disempurnakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada Sabtu sebagai salah satu simbol komitmen kerajaan negeri membangunkan bakat golongan belia di Johor.
“TMIYC di Pasir Gudang ini merupakan yang ketiga selepas Hutan Bandar, Johor Bahru dan Muar.
“la selaras dengan idea dan visi Pemangku Sultan Johor untuk memperkasakan pembangunan golongan belia dengan pembinaan sebuah Youth Centre di setiap daerah di Johor,” titah Tunku Ismail menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Md Shah.
Media melaporkan, dengan kos pembinaan mencecah RM33.72 juta, TMIYC Pasir Gudang yang dibangunkan di kawasan seluas 12 ekar itu merangkumi dua zon utama.
Ia dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan utama, amfiteater, gelanggang padel, dinding panjat, padang memanah, taman karavan, kawasan trak makanan serta pelbagai ruang aktiviti untuk menggalakkan gaya hidup sihat.
Bagi memastikan pengurusan dan penyelenggaraan fasiliti berjalan lancar, Kerajaan Johor turut menubuhkan TMIYC Activation Taskforce.
Pasukan ini bertanggungjawab menyelaras operasi termasuk strategi media, penglibatan komuniti dan pembangunan polisi pentadbiran pusat belia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami