KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar Ahli Dewan Rakyat (ADUN) negeri Perak yang telah dipilih oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, untuk menjauhi sifat angkuh dan bongkak serta mengelak mengamalkan budaya yang menang, menang semua.

Sebaliknya, tegas Baginda, kesemua ADUN yang menang perlu bersifat adil mengagihkan peruntukan dan melaksanakan program pembangunan secara saksama tanpa prejudis, diskriminasi atau penindasan kepada mana-mana pihak.

"Kerana setiap pengundi ialah makhluk Ilahi dan setiap inci bumi di negeri ini terletak di bawah naungan takhta pemerintahan Paduka Seri Sultan Perak.

"Oleh itu, rakyat jangan dihukum untuk menanggung kesusahan, di sebaliknya dengan menjunjung semangat demokrasi, kepentingan dan kebajikan setiap rakyat jelata hendaklah berada di hati pemimpin dan senantiasa diutamakan," titah Baginda semasa merasmikan Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Perak ke-15, pada Selasa.

Baginda turut bertitah, mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat untuk menjadi ADUN merupakan suatu amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipenuhi, serta menuntut pengorbanan yang besar.

Justeru itu, ia perlu dipenuhi tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan ikhlas, jujur, adil dan saksama berlandaskan perlembagaan serta berteraskan undang-undang.

Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat melicinkan uruskan PRU15 yang berjalan lancar tanpa menjejaskan rutin harian kehidupan rakyat dan juga membolehkan jentera pentadbiran negeri terus berfungsi secara normal.

"Pilihan Raya yang berlangsung dalam suasana tertib dan aman, dan bilangan pemilih yang turun mengundi, menunjukkan rakyat semakin matang menerima budaya dan semangat demokrasi yang membolehkan rakyat memilih kerajaan," titah Baginda.