Sarawak hari ini tidak merekodkan sebarang kes positif COVID-19 buat hari ketujuh berturut-turut sekaligus menjadikan jumlah kes positif kekal 544 kes.

Perkara itu diumumkan Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Jelasnya lagi sebanyak dua kes baru telah sembuh dan discaj dari hospital hari ini dengan satu kes masing-masing dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Sibu.

"Jumlah keseluruhan kes postif COVID-19 yang telah sembuh dan discaj ialah seramai 439 kes atau 80.70 peratus," katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Laporan harian perkembangan COVID-19 di Sarawak oleh JPBNS

Menurut Uggah, bilangan kes orang di bawah siasatan (PUI) setakat hari ini sebanyak 41 kes manakala yang masih menunggu keputusan makmal adalah sebanyak 32 kes.

"Sementara itu, sebanyak 87 kes pesakit COVID-19 sedang dirawat di empat hospital iaitu HUS sebanyak 71 kes, Hospital Sibu (lapan kes), Hospital Bintulu (enam kes) dan Hospital Miri (dua kes)

"Daripada jumlah tersebut, satu kes dirawat di unit rawatan rapi," katanya sambil menambah 17 kes kematian setakat ini.

Sementara itu Samarahan kini bertukar status dari zon kuning kepada zon hijau apabila tidak mencatatkan sebarang kes positif dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Ini sekaligus menjadikanj umlah daerah berstatus kuning di Sarawak setakat hari ini adalah sebanyak lima buah, dan daerah berstatus hijau ialah sebanyak 35 buah.

Lima daerah masih lagi dikategorikan sebagai zon kuning ialah Kuching, Tebedu, Lundu, Sibu dan Serian manakala lain-lain daerah berstatus hijau.