"Kembalilah ke tikar sejadah."

Itu ungkapan Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika diminta mengulas dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya PAS menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak hanya kerana keengganan parti itu bersama Pakatan Harapan.

Malah, beliau turut menyifatkan Tun Dr Mahathir mengutarakan komen tersebut mengikut perasaan dan secara semberono.

"PAS masih belum buat keputusan menjalinkan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Mengenai komen Tun Mahathir, dia komen ikut suka dia sahaja. Orang tua, saya ingat dia ini yang sekat royalti Kelantan, kata nak bagi royalti. Dia yang penjarakan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim kemudian nak bebaskan Anwar.

Nik Mohamad Abduh juga mempertikai kenapa Tun Dr Mahathir tidak melakukan apa yang diulanginya sekarang ketika beliau berkuasa dahulu.

"Masa dia ada kuasa, dia tidak buat. Bila tiada kuasa, dia sebut pula nak bebaskan Anwar. Itu saya kata dulu, dia baik kembali ke tikar sejadah, pergi ke Mekah, belajar agama. Itu lebih baik bagi dia.

"Bagi saya dia mengulangi apa yang dia tidak buat masa dia ada kuasa dulu," katanya ketika ditemui media di lobi Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu melahirkan keraguan tentang keputusan PPBM yang berhasrat untuk menyertai Pakatan Harapan.

"Saya sendiri tidak tahu parti PPBM ini serius atau tidak. Tengok kenyataan macam serius untuk bersama PAS. Tetapi bila tengok kenyataan kedua, macam tidak serius. Saya tidak mahu komen.

Sementara itu, Nik Mohamad Abduh berkata PAS sentiasa yakin dengan perjuangan serta terbuka untuk menerima pihak yang sedia untuk bekerjasama dengan mereka.