Bantuan sudah disalurkan kepada Rosli Hamid, 46, yang menjadi orang kelainan upaya (OKU) selepas kedua-dua kakinya lumpuh akibat kemalangan motosikal.

Pengurus Besar Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS), Nor Azmi Musa berkata, pihak Baitulmal yang berkunjung ke rumahnya sudah memberikan beberapa bantuan segera untuk meringankan beban kehidupannya sehari-hari.

"Pihak Baitulmal memberikan bantuan segera sebanyak RM500, bantuan makanan asas, bantuan basikal untuk anaknya dan juga bantuan fakir miskin kepadanya.

"Pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sentiasa prihatin dengan masalah fakir miskin di seluruh Negeri Sembilan.

"Maklumat daripada masyarakat amat penting bagi kami untuk menyalurkan dana zakat kepada mereka yang berhak. Adalah penting bagi asnaf fakir dan miskin untuk memaklumkan kepada pihak Baitulmal sekiranya mereka berpindah ke lokasi lain agar para pegawai Baitulmal dapat terus mengunjungi mereka dan memberi bantuan yang konsisten dari semasa ke semasa," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Kenyataannya turut dipaparkan di laman Facebook PZNS.

BACA: Tunggu zakat: 'Rekod catat Rosli sudah terima bantuan' - Pengurus PZNS

Dua pegawai Baitulmal MAINS menyampaikan bantuan kepada Rosli yang mengadu permohonan zakatnya tidak diendah sejak tahun lepas - Sumber gambar Facebook PZNS

Sebelum ini Nor Azmi berkata, Rosli sudah menerima bantuan zakat sejak empat tahun kebelakangan ini.

"Rosli sebenarnya telah mendapat bantuan secara berterusan sehinggalah bantuan yang diberikan kepadanya telah lulus pada Disember 2014.

"Jumlah keseluruhan dana zakat yang telah diberi kepadanya ialah sebanyak RM6,440. Bantuan yang terbaharu adalah pada Januari tahun ini di mana dia juga telah diberikan bantuan persekolahan untuk anak-anaknya," jelasnya.

BACA: Tunggu zakat: 'Ketua kampung pun tak mahu layan saya' - Rosli Hamid

BACA: "Usah rumitkan prosedur zakat" -Netizen

Pada Isnin, Rosli mengadu sudah menanti sejak tahun lepas untuk mendapat wang zakat.

Rosli kini menyara tiga orang anak yang bersekolah dengan wang bantuan persekolahan sebanyak RM300 sebulan selain terpaksa bergantung harap sepenuhnya kepada wang Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

GALERI FOTO: Kasih ayah sepanjang masa, pengorbanan ayah tiada tandingan

Dalam pada itu kata Nor Azmi, punca sebenar Rosli tidak mendapat bantuan zakat sejak kebelakangan ini adalah kerana telah beberapa kali berpindah randah serta tidak memberikan nombor akaun bank untuk memudahkan kemasukan bantuan zakat.

"Pihak Baitulmal juga tidak dapat mengesan di mana Rosli berada. Untuk makluman semua, pegawai Baitulmal pernah mengunjungi alamat terakhir beliau di No 22, Kampung Mampas Terachi, Kuala Pilah.

"Namun dia tidak tinggal lagi di rumah tersebut sehinggalah artikel mengenainya telah keluar di laman Astro AWANI yang mana dia tinggal di Kampung Ayer Itam, Kuala Pilah," ujarnya.