Laman media sosial hari ini dilimpahi dengan komen-komen tentang kesesakan orang ramai di institusi perbankan di seluruh negara.

Komen-komen ini tersebar dengan meluas sejurus selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman tentang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 pagi tadi.

Najib berkata, bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014, kerajaan memperuntuk RM4.6 bilion untuk memberi manfaat kepada 7.9 juta penerima.

Ekoran pengumuman itu, penerima-penerima BR1M dikatakan menyerbu mesin ATM di bank-bank di seluruh negara dan ia menjadi perbualan hangat di laman Twitter.

Antara lain, pengguna Twitter merungut tentang barisan yang panjang di mesin-mesin ATM.
















Najib mengumumkan pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM700 merangkumi RM650 dan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) sebanyak RM50.

Bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000 dengan nilai bantuan RM450.

i-BR1M menyediakan nilai perlindungan minimum RM1,000 bagi kematian biasa dan maksimum RM30,000 sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal.