[UNDIAN] #CeritaBanjir yang mana pilihan anda?
![[UNDIAN] #CeritaBanjir yang mana pilihan anda? [UNDIAN] #CeritaBanjir yang mana pilihan anda?](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/http://img.astroawani.com/2015-12/41450280925_ceritabanjir.jpg)
[UNDIAN] #CeritaBanjir yang mana pilihan anda?
Astro AWANI melancarkan satu laman Cerita Banjir yang menghimpunkan lapan cerita mengenai mangsa banjir yang berlaku pada pertengahan Disember 2014.
Lapan kisah itu merupakan cerita manusia, mereka bukan hanya sekadar angka yang dicatat dan dihebahkan sebagai berita.
Seperti orang lain, mereka juga ada impian, cita-cita dan harapan.
Setahun sudah berlalu; musim tengkujuh datang lagi. Ceritanya masih sama. Air naik ― orang berpindah ke balai raya atau sekolah. Air surut ― orang pulang balik ke rumah.
Setiap tahun begitulah cerita.
Wartawan Israr Khalid bersama wartawan foto Shahir Omar dan jurukamera video Hairul Wildan ke Kelantan pada awal November lalu. Lapan kisah yang mereka rakamkan ini adalah cerita manusia ― bukan angka.
Warna Yang Hilang mengisahkan seorang Imam, Mustafa Husain, 68 dari Kg Kemubu, Kuala Krai
Selepas banjir besar 2014, kampung ini tidak lagi ceria seperti dulu. Tetapi mereka selalu percaya, Tuhan tidak menimpa beban yang tidak mampu mereka tanggung.
Membina Harapan Baru membawa pembaca mendekati Azami Harun, 51 dari Kg Manjur, Kuala Krai yang kematian dua anaknya yang lemas di sungai. Tiga tahun kemudian, sungai yang sama menenggelamkan seluruh kampungnya.
Pok Jah Penebar Roti, Hamzah Husain dari Kg Manek Urai Baru, Kuala Krai yang merayu pembinaan semula rumahnya yang ranap setelah dilanda banjir. "Siapa yang hendak tolong saya bertukang dan bina semula semua ini? Saya dah tua, tak larat buat seorang diri."
Dua Nasib Berbeza melihat dua individu, Rozita Ramli & Mat Taha Husin dari Bdr Baru Gua Musang, Gua Musang. Mereka dihentam bencana yang sama tapi tak semua orang mendapat bantuan yang serupa.
Demi Rakyat mendekati Zulbahri Ibrahim dari Kg Bahagia, Kuala Krai seorang sukarelawan yang sanggup bertungkus-lumus berkorban untuk keselesaan orang lain. Mereka yang meninggalkan keluarga kerana tugas dan tanggungjawab.
Pondok Atas Bukit pula merapati insan bernama Rosli Ab. Ghalib, 54 dari Kampung Jelawang, Dabong. Kali ini dia bersiap awal, sebelum banjir datang lagi, dia menyusun kayu membangunkan sebuah pondok untuk berlindung menyelamatkan diri.
Tuaian Terakhir mengirim cerita petani Aziz Ibrahim dari Sg Stong, Dabong yang berusaha gigih mungkin untuk kali terakhir sebelum tengkujuh tiba mengirimkan banjir. Dia menuai tanam-tanamannya - memunggah hasil daripada keringat yang dicurahkan ke bumi.
Sahabat Gerabak mengekori dua remaja perempuan, Siti Nadia Che Pari & Nor Diana Rosli dari Kg Bukit Abu, Jeli. Banjir memisahkan sementara dua remaja yang bersahabat di atas gerabak keretapi.
Cerita mana yang menarik perhatian anda? Undi di sini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

