Skip to main content
Advertisement

Malaysia

UNGA: Malaysia gesa pihak terlibat elak peningkatan konflik di Asia Barat

NEW YORK, 26 Sept - Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan ucapan intervensi pada Mesyuarat Peringkat Tinggi Kumpulan Sahabat kepada Perikatan Tamadun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAOC) di luar Sesi Ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA81) di Dewan ECOSOC, Ibu Pejabat PBB hari ini. - fotoBERNAMA
Mohamad Hasan ketika menghadiri Mesyuarat Tahunan ke-50 Menteri-Menteri Luar Negeri Kumpulan 77 dan China di Ibu Pejabat PBB. - Foto BERNAMA
Advertisement

NEW YORK: Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik yang semakin memuncak di Asia Barat agar mengelak daripada terus memburukkan keadaan, sambil memberi amaran bahawa natijahnya boleh memberi kesan susulan kepada sektor tenaga, perdagangan dan pasaran global.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ketegangan yang kian meningkat mengancam beberapa laluan paling penting di dunia bagi tenaga dan perdagangan, termasuk Selat Hormuz dan Bab el-Mandab.

“Sehubungan itu, Malaysia menggesa semua pihak supaya mengelak daripada terus memburukkan keadaan,” katanya semasa menyampaikan kenyataan negara pada Debat Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-81 di sini pada Sabtu.

Beliau berkata diplomasi telah membuktikan bahawa dialog adalah sesuatu yang tidak mustahil dan pendekatan itu tidak boleh diabaikan.

“Jika tidak, kita berisiko mencetuskan gelombang kejutan seterusnya ke atas pasaran global dan menimbulkan penderitaan yang tidak sepatutnya kepada keluarga yang tidak bersalah di seluruh dunia,” katanya.

Mohamad berkata kesan konflik tidak berhenti di rantau yang terjejas sahaja, kerana keluarga di Asia Tenggara turut merasai impaknya menerusi peningkatan kos makanan, bahan api dan sara hidup.

“Sesebuah keluarga di Asia Tenggara tidak terlibat dalam pertikaian ini. Namun, keluarga itu tetap menanggung padahnya apabila harga makanan, bahan api dan kos sara hidup meningkat,” katanya.

Beliau berkata dalam dunia yang semakin saling terhubung, peperangan boleh melepasi sempadan seperti mana teknologi yang mampu merebak pantas dan menjejas ketenteraman masyarakat.

Mohamad  berada di New York dari 23 hingga 27 Sept bagi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement