Filem animasi Malaysia Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bukan sahaja mempunyai mempunyai kualiti 3D yang berteknologi tinggi, malah ia sarat dengan unsur positif serta bersifat kekeluargaan.

Atas faktor itu, syarikat terkenal China, Cultural Investment Holding Co Ltd membuat keputusan untuk melaburkan sejumlah RMB10,000,000 (RM620,000) bagi membawa filem buatan Les’ Copaque Production itu untuk ditayangkan di 1,000 pawagam di seluruh negara itu.

Timbalan Pengurus Besarnya, Zhai Ai Hong berkata, penerimaan masyarakat China untuk filem berunsurkan animasi berteknologi tinggi sangat tinggi, sekali gus menjadikan potensi Upin & Ipin sangat luas.

“Pagi ini, selepas kami melakukan pra-tonton, kami mendapati teknologi yang digunakan dalam pembikinan filem animasi ini mempunyai standard yang tinggi.

“Selain itu, kami yakin jalan penceritaannya akan diterima masyarakat China memandangkan nilai-nilai positif yang diterapkan, terutamanya dari sifat kekeluargaan serta saling tolong menolong antara satu sama lain,” katanya.

BACA: Upin Ipin luaskan pasaran ke China

Beliau bercakap pada satu sidang media selepas menandatangani perjanjian dengan Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi, di ibu negara hari ini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, serta Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Hans Isaac.

BACA: Filem Upin dan Ipin Keris Siamang Tunggal angkat kisah rakyat

Terdahulu, Gobind dalam ucapannya berkata, beliau difahamkan filem Upin & Ipin telah mencipta sejarah sebagai filem animasi tempatan terlaris sepanjang zaman dengan kutipan sebanyak RM25 juta di pawagam tempatan di mana berjaya ia berjaya menewaskan kutipan filem filem animasi antarabangsa yang lain.

“Branding Upin & Ipin yang menjadi fenomena ini juga perlu dipuji kerana aspek pengawalan harta inteleknya dan hakcipta yang dipegang pihak penerbit sehingga boleh dilesenkan melalui pelbagai platform ke seluruh dunia,” katanya lagi.

BACA: Karakter Upin Ipin diangkat sebagai duta mahabbah - Maszlee

Selain itu, Gobind berkata, persefahaman yang dicapai antara Les’ Copaque dan Cultural Investment mencerminkan komitmen pihak pembikin filem dari dua negara ini, dalam memperkukuhkan hubungan serta meningkatkan lagi pertukaran budaya.

TONTON: Malam Gala Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal