1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjaya membuat keuntungan US$488 juta (RM1.76 bilion) hasil urusan perniagaannya dengan syarikat PetroSaudi International (PetroSaudi), kata Pengarah Eksekutif Kumpulan dan juga presidennya, Arul Kanda hari ini.

Arul Kanda dalam satu kenyataannya berkata 1MDB juga telah menamatkan hubungannya dengan PetroSaudi pada 2012 dan berjaya mendapatkan kembali sepenuhnya wang pelaburannya disamping membuat keuntungan.

“Fakta ini dan semua maklumat berkaitan transaksi, boleh disahkan dengan merujuk kepada akaun yang telah diaudit, dimana (maklumat) boleh diperolehi di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” kata Arul Kanda.

Kenyataan dikeluarkan susulan kenyataan PetroSaudi yang dikeluarkan hari ini yang menafikan dakwaan syarikat itu telah memperolehi dana berbilion ringgit dari 1MDB, sebuah syarikat milik kerajaan sepenuhnya.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu-isu yang ditimbulkan berkaitan 1MDB.