KUALA LUMPUR: Siasatan kes serangan terhadap tiga pemain bola sepak kebangsaan iaitu Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim kini dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Beliau berkata tiga kes itu dikendalikan di peringkat kontinjen negeri sebelum ini dan selain itu, USJT juga menyiasat ugutan yang didakwa diterima Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon, bahawa dirinya bakal menerima nasib sama seperti Faisal Halim, iaitu menjadi mangsa simbahan asid.

Menurut Mohd Suhaily siasatan dibuat dari semua sudut dan aspek, termasuk jika ia mempunyai kaitan dengan isu tohmahan yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada bulan lepas.

"Kita lihat keseluruhan adakah berkaitan tohmahan kepada FAM sebulan lepas, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyatakan tohmahan itu tidak berasas. Adakah disebabkan kenyataan itu membawa kepada tindakan sebegini? Ketidakpuasan hati kepada FAM yang diluahkan kepada pemain kebangsaan," katanya pada sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Mohd Shuhaily berkata siasatan setakat ini, mendapati tiga kes serangan itu yang berlaku selang dua hari, tidak berkaitan antara satu sama lain walaupun menggunakan modus operasi sama iaitu melibatkan dua suspek yang akan mengekori mangsa sebelum melakukan serangan.

Beliau berkata setakat ini polis masih menyiasat motif kejadian dan telah merakam keterangan 15 individu bagi ketiga-tiga kes termasuk ahli keluarga dan saksi kejadian.

"Bagi kes kedua (Faisal), kita sedang tunggu beberapa laporan khususnya laporan kimia berkaitan asid yang digunakan selain laporan daripada pegawai bagaimana daripada kecederaan tahap dua (yang dialami mangsa) merebak ke tahap empat," katanya.

Mohd Shuhaily berkata bagi kes melibatkan Faisal, seorang daripada suspek iaitu lelaki berusia dalam lingkungan 30-an kini direman hingga Sabtu ini dengan siasatan awal mendapati dia mempunyai tujuh rekod jenayah lampau manakala seorang lagi suspek, juga lelaki didapati positif dadah.

Serangan terhadap pemain bola sepak itu bermula pada 2 Mei lepas apabila Akhyar Rashid yang juga pemain Terengganu FC cedera selepas dipukul dengan besi boleh laras dalam kejadian samun di Terengganu diikuti kejadian bintang Selangor FC Faisal disimbah asid di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor pada 5 Mei lepas.

Pada malam tadi, cermin belakang kereta bekas ketua pasukan skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim pula dilaporkan dipecahkan oleh dua suspek yang membonceng sebuah motosikal di pusat latihan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Johor Bahru.

-- BERNAMA