falsefalsefalseEN-MYX-NONEX-NONE Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menganggap laporan sebuah portal dengan tajuk berita ‘15 Usul Tukar Speaker Ditolak’ adalah tidak benar.
Jelas Azhar dalam satu kenyataan media pada Khamis, beliau menyifatkan laporan itu mempunyai unsur inuendo (tersirat) dan akan mendapatkan khidmat nasihat undang-undang untuk tindakan seterusnya dalam masa terdekat.
"Saya merujuk kepada laporan Utusan Malaysia bertajuk "15 Usul Tukar Speaker di Tolak" bertarikh 1 September 2021.
"Laporan Utusan Malaysia yang mengatakan antara lainnya bahawa saya telah mengetepikan usul berkenaan daripada dibahas dan juga yang mempunyai unsur inuendo bahawa usul-usul tersebut ditolak oleh saya adalah tidak benar.
"Saya anggap bersifat pembohongan dan fitnah dan dibuat dengan niat untuk menjatuhkan reputasi saya," tegas Azhar.
Jelasnya lagi, beliau tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung usul itu kerana mempunyai percanggahan kepentingan.
"Pejabat saya sememangnya menerima pemberitahu usul-usul untuk saya mengosongkan jawatan saya dan juga supaya individu lain dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
"Sebaik sahaja pejabat saya menerima usul-usul tersebut, saya telah utuskan surat kepada kesemua pengusul bahawa saya tidak akan sama sekali membuat apa-apa keputusan mengenai semua usul tersebut kerana saya mempunyai percanggahan kepentingan.
"Apa-apa keputusan mengenai usul-usul tersebut diserahkan kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon," katanya.