KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Petronas (UTP) meraikan kejayaan bersejarah buat tahun kedua berturut-turut apabila meraih tempat teratas sebagai universiti nombor satu di Malaysia dan universiti swasta terkemuka di ASEAN, menurut Ranking Universiti Asia Times Higher Education (THE) 2024.

Universiti berkenaan melonjak 11 anak tangga untuk mencapai tempat ke-52, berbanding kedudukan ke-63 pada 2023.

Naib Canselor UTP Prof Datuk Ts Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib mengucapkan penghargaan kepada Petronas, pemimpin universiti itu dahulu dan kini, rakan industri, rakan kerjasama akademik serta petugas dan pelajar yang menyumbang kepada pencapaian UTP.

Beliau menyifatkan kejayaan itu menjadi fokus universiti untuk terus meningkatkan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan pengalaman pelajar.

"Kami telah berusaha dengan gigih sejak beberapa tahun lepas untuk menyepadukan pengajaran, penyelidikan dan pengalaman pelajar bagi mengangkat UTP secara keseluruhan.

"Sebagai contoh dalam pengajaran dan pembelajaran, kami sentiasa meneroka teknik baharu dan menyemak semula kurikulum untuk menawarkan program baharu yang memberikan lebih nilai dan meningkatkan pengalaman pelajar," katanya kepada Bernama pada Sidang Kemuncak Universiti-universiti Asia 2024 yang diadakan di Sunway University di sini baru-baru ini.

Universiti berkenaan juga kekal teguh dalam memupuk perkongsian global yang kukuh, pemacu utama dalam peningkatan berterusan.

Di samping itu, beliau berkata penyelidikan berterusan UTP menangani cabaran kritikal dan menyumbang kepada pembangunan mampan di peringkat nasional dan serantau, melalui kerjasama industri yang kukuh.

Beliau berkata tumpuan itu memastikan siswazah UTP bersedia untuk menangani cabaran paling mendesak yang dihadapi rantau ini dan dunia.

Mohamed Ibrahim berkata universiti turut menyokong inisiatif kemapanan Petronas secara aktif dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 melalui pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pengalaman pelajar.

Dalam membina momentum ini, beliau berkata UTP menetapkan sasarannya untuk berada dalam kelompok 50 terbaik bagi Ranking Universiti Asia THE dan Quacquarelli Symonds (QS) dalam beberapa tahun akan datang.

"Komitmen UTP terhadap kecemerlangan melangkaui kedudukan. Kami komited memupuk pemimpin masa hadapan yang bersedia menangani cabaran global dan membina masa depan yang mampan," katanya.

Mohamed Ibrahim berkata UTP merancang untuk melancarkan program kejuruteraan bersepadu tahun depan, yang direka bagi melengkapkan siswazah dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam pasaran kerja masa depan.

Sementara itu, beliau berkata UTP juga akan menganjurkan THE Campus Live Southeast Asia Forum yang berprestij November ini, menghimpunkan kira-kira 400 peserta dari seluruh rantau.

-- BERNAMA