KEPALA BATAS: Seorang wanita warga emas kerugian RM134,503 kerana menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang mendakwa dia membuat pembelian wang digital bitcoin dalam kejadian di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Radzi Ahmad berkata wanita berusia 61 tahun dan merupakan pesara sektor swasta membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam.

"Wanita itu mendakwa dia telah menerima panggilan telefon daripasa seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari bank HSBC Call Centre dan memaklumkan kad kreditnya telah digunakan untuk pembelian bitcoin melalui tiga transaksi sebanyak RM15,991.

"Mangsa kemudiannya menafikan penggunaan kad kredit tersebut kerana tidak mempunyai akaun bitcoin dan panggilan telefon itu seterusnya telah disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang mengaku pegawai dari Bank Negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lelaki yang mendakwa pegawai Bank Negara itu telah meminta wanita tersebut untuk memberikan maklumat perbankannya iaitu nama pengguna dan kata laluannya kononnya bagi tujuan siasatan.

Mohd Radzi berkata wanita itu yang ketakutan mengikut semua arahan suspek termasuk memberikan maklumat perbankannya dan hanya menyedari menjadi mangsa sindiket Macau Scam itu selepas menerima mesej daripada bank HSBC.

Katanya pihak bank memaklumkan kepada wanita itu bahawa terdapat pengeluaran wang sebanyak RM134,503 dari tiga akaun milik mangsa.

"Mangsa yang menyedari telah menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam bertindak membuat laporan polis dan kami sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu termasuk mengesan akaun yang digunakan untuk pemindahan wang dari akaun wanita itu," katanya.

Beliau berkata pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon daripada mana-mana individu yang mengaku sebagai agensi kerajaan atau swasta sebelum pengesahan dilakukan.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA