Seorang warga emas maut dalam satu kemalangan di kilometer 18.5 Jalan Paka - Almukhtadi Bilah Shah (AMBS).

Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, kejadian pada Sabtu itu melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dengan sebuah kereta.

Tambahnya, mangsa dikenali sebagai Zahawi Ngah yang berusia 60 tahun dan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan ke Bandar Ketengah Jaya dan cuba mengelak sekawan lembu yang sedang melintas jalan sebelum terbabas dan dilanggar kereta dari arah bertentangan.

Pemandu kereta, Jasni Ab Wahab berkata dia dalam perjalanan pulang ke rumah apabila secara tiba-tiba sebuah motosikal muncul menuju ke arahnya.

"Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari Bandar Kemasek, suasana di tempat kejadian agak gelap.

"Mangsa cuba mengelak sekawan lembu lalu terus melanggar saya," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.