Susulan sekeping gambar yang dimuat naik ke laman sosial dan viral pada Sabtu kononnya seramai 5,000 ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah tidak berasas dan didakwa satu penipuan.

Perkara itu dinafikan oleh Ketua Penerangan Warisan bahagian Semporna, Hasbullah Rauddah dalam satu sidang media khas di pejabat Warisan bahagian Semporna pada Ahad.

"Merujuk yang ditularkan di media massa yang kononnya dikatakan seramai 5,000 orang ahli Parti Warisan Sabah bahagian Semporna telah keluar dan menyertai parti Bersatu semalam.

"Perkara ini disokong oleh gambar-gambar yang tular semasa majlis penyerahan borang kemasukan ahli Bersatu yang diketuai oleh Ramlee Saraman dan diterima oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

BACA: 5,500 serah borang masuk Bersatu

Ujarnya, setelah semakan rekod keahlian dilakukan, individu berkenaan bukan ahli parti Warisan dan tidak pernah memohon untuk menyertai Warisan.

"Setelah kita membuat semakan dan penelitian, Ramlee Saraman sendiri selaku ketua rombongan yang mewakili 5,000 orang ahli Warisan menyertai Bersatu adalah suatu pembohongan yang nyata kerana beliau sendiri belum pernah memohon menjadi ahli parti Warisan, apatah lagi diterima menjadi ahli parti Warisan sebelum ini dan sehingga hari ini," jelasnya.

Tambahnya, semakan juga tidak menunjukkan terdapat 5,000 ahli Warisan Semporna tidak keluar parti dan apa yang berlaku disifatkan sebagai satu pembohongan yang sangat besar apatah lagi melibatkan pemimpin nombor satu negara.

"Setelah kerajaan BN tumbang pada PRU14 lalu, beliau adalah antara orang orang yang kecewa, memandangkan beliau sudah tiada peranan dan tempat dalam kalangan masyarakatnya. Hari ini beliau suka membuat fitnah dan lebih menyedihkan lagi dia sanggup menipu Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia yang juga selaku Presiden Parti Bersatu," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang termasuk membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan bagi perbuatan penipuan itu.

Terdahulu, Ramlee dikatakan mengetuai rombongan penyerahan borang keahlian menyertai Bersatu daripada 5,000 ahli Warisan bahagian Semporna yang keluar parti.

Turut hadir dalam sidang media khas tersebut ialah 60 ketua ketua cawangan dan ahli Warisan melibatkan kampung Bangau Bangau dan Kampung Simunul Semporna.

Untuk rekod, Warisan bahagian Semporna telah mempunyai 29,000 ahli yang melibatkan lebih 700 cawangan dan telah disahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan(ROS) sebanyak lebih dari 500 cawangan.