Kerajaan Persekutuan akan mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri dalam usaha merapatkan jurang antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dilancarkan baru-baru ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pandangan Kerajaan Negeri penting dalam menjayakan dasar baru itu memandangkan mereka lebih mengetahui keutamaan industri yang perlu dibangunkan di negeri masing-masing.

"Kita ambil kira pandangan Kerajaan Negeri kerana mereka lebih arif tentang keutamaan industri yang boleh dikenalpasti dan dilaksanakan untuk tingkatkan kuasa ekonomi rakyat dalam negeri berkenaan.

"Malah dalam merencana Rancangan Malaysia ke-12, kerajaan adakan libat urus dengan semua Kerajaan Negeri untuk kenal pasti industri dan sektor baharu, dan sebahagian pelaksanaan WKB2030 ini juga boleh dimasukkan bersama," katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) berkenaan sektor yang boleh meningkatkan ekonomi di Sabah serta langkah serta merta untuk memulakan misi WKB2030.

BACA: Memahami teras dan potensi Wawasan Kemakmuran Bersama

BACA: Wawasan Kemakmuran Bersama: Kekayaan rakyat lebih mapan

Menjawab soalan asal Wong mengenai perbezaan WKB2030 dengan pelan-pelan kerajaan sebelum ini, Mohamed Azmin berkata dasar baharu itu lebih khusus dengan menyasarkan peningkatan sumbangan peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari Sabah dan Sarawak.

"Jurang pembangunan antara Wilayah Tengah Semenanjung Malaysia adalah 2.6 peratus di Sabah dan 1.3 peratus di Sarawak berdasarkan KDNK per kapita.

"Kita sasar untuk kecilkan jurang ini bagi meningkatkan sumbangan peratusan KDNK Sabah dan Sarawak kepada KDNK Malaysia kerana ketika ini Sabah menyumbang 6.2 peratus dan Sarawak menyumbang 9.7 peratus jauh berbanding Wilayah Tengah Semenanjung Malaysia iaitu 40 peratus," katanya.

BACA: Tiada usaha bersungguh-sungguh capai Wawasan 2020 - Tun Mahathir

BACA: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dilancarkan

Justeru, Azmin berkata melalui WKB2030 kerajaan akan mengadakan pemetaan kawasan titik panas bagi tumpuan ekonomi yang dilihat berpotensi untuk dibangunkan di negeri itu.

Langkah itu juga, tegasnya, bagi memastikan ekonomi tidak berpusat di wilayah tertentu sahaja dan pengagihan pembangunan di Sabah dan Sarawak dibuat berdasarkan keutamaan dan keunikan di dua negeri itu.

-- BERNAMA