KUCHING: Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia) memuji Sarawak kerana telah meluluskan Rang Undang-Undang Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 pada November tahun lepas.

Dalam satu kenyataan, WWF-Malaysia memaklumkan rang undang-undang itu adalah yang pertama seumpamanya dalam pelepasan dan pengurangan karbon di Malaysia dengan strategi dan hala tuju yang lengkap.

"Walaupun undang-undang semasa ditetapkan untuk minyak dan gas, dan sektor tenaga, namun WWF-Malaysia berharap pada masa hadapan, sektor ekonomi utama lain seperti kelapa sawit dan pembalakan, akan mengikut arahan pematuhan mandatori.

"Rang Undang-Undang tersebut, termasuk Kanun Tanah Sarawak (Simpanan Karbon) 2022 dan Ordinan Hutan Sarawak (Aktiviti Karbon Hutan), 2022, akan membantu melakar hala tuju ke arah matlamat pelepasan karbon sifar bersih 2050 negeri yang hanya tinggal kurang tiga dekad lagi, " menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu mencerminkan beberapa perkembangan utama di Sarawak tahun lepas dan mempertimbangkan bidang untuk penambahbaikan pada hari-hari mendatang.

Sementara itu, WWF-Malaysia berkata Sarawak mengekalkan sebahagian besar litupan hutannya, yang dilaporkan berjumlah 62 peratus atau 7.65 juta hektar, iaitu terbesar dalam kalangan semua negeri di Malaysia.

Menurut WWF jika angka ini dikekalkan, Sarawak sahaja menyumbang 46.5 peratus kepada matlamat negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus tanah di bawah pokok atau hutan.

"Walaupun pembangunan tidak dapat dielakkan, kami menyeru kerajaan Sarawak untuk mengutamakan hutan kita dan memastikan pembangunan dilaksanakan secara mampan, sedar dan terancang untuk pendekatan bersepadu.

"Kita mesti memperhebatkan usaha untuk mewartakan lebih banyak kawasan hutan kekal dan tidak kehilangan sebahagian besar daripadanya," menurut WWF-Malaysia.

-- BERNAMA