KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain menerima penganugerahan Hall of Fame ke-15 Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional, Putrajaya hari ini.

Maktab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memaklumkan penganugerahan itu disempurnakan oleh Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang dalam Majlis Pemasyhuran Hall of Fame MTAT.

"Penganugerahan sebagai ahli Hall of Fame Ke-15 kepada PTD ini turut disaksikan bersama oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

"Zamrose telah berkhidmat dengan Tentera Darat Malaysia lebih 41 tahun. Beliau dinaikkan pangkat ke Jen dan memegang jawatan sebagai PTD ke-28 pada 11 Jun 2020 atas kepimpinan, perkhidmatan dan dedikasinya yang luar biasa. Beliau juga merupakan alumni MTAT, setelah lulus dengan kohort tahun 1996," menurut kenyataan itu.

Menurut Maktab ATM, Hall of Fame MTAT yang ditubuhkan pada 2004 merupakan platform memberi pengiktirafan yang berprestij kepada pegawai terbilang yang telah mencapai merit jawatan tertinggi dalam perkhidmatan masing-masing atau yang pernah memegang jawatan yang setara dengan pangkat atau tanggungjawab dalam organisasi lain.

Penerima terakhir anugerah ini merupakan Mohd Reza yang menerimanya pada 2019. - BERNAMA