Beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini menjemput Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyertai UMNO kerana yakin rakyat kini dilihat lebih mempercayai gabungan tersebut.

Ia dikeluarkan dalam satu kenyataan bersama oleh Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said; Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad; dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid.

Mereka turut mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa mereka tidak akan sesekali keluar UMNO apatah lagi lompat parti.

"Merujuk kepada laporan berita berkaitan sidang media (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) petang tadi, kami nafi sekeras-kerasnya dakwaan kononnya pemimpin UMNO sudah hilang parti dan tidak tahu apa nak buat sama ada masuk parti lain atau tidak.

"Tidak pernah sekalipun pendirian sedemikian disebut oleh mana-mana Ahli Parlimen BN semasa pertemuan tersebut.

BACA: Azmin buka mulut, mesyuarat dengan pembangkang katanya perkara biasa

BACA: PKR mahu Azmin bersemuka, beri penjelasan - Fahmi

BACA: Bertemu pembangkang: "Azmin bukan parti saya" - Tun M

"Malah, merujuk kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa di laman Twitternya, beliau turut akui dakwaan tersebut merupakan satu fitnah. Malah, beliau turut zahirkan keyakinan bahawa kesemua Ahli Parlimen BN yang hadir pertemuan tersebut merupakan ahli yang setia," jelas mereka dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Pada Isnin, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan BN di kediamannya di Putrajaya.

Bagaimanapun, Azmin berkata, pertemuan itu hanya mesyuarat biasa dan beliau mengambil sikap terbuka dalam pertemuan berkenaan.

Presiden PKR, Anwar bagaimanapun mahu timbalannya itu memberi penjelasan mengenai pertemuan berkenaan yang telah menimbulkan pelbagai persoalan daripada pihak kerajaan.

Jelas mereka, apa yang dibincangkan malam itu, hanyalah perkara berhubung kait usaha pembangunan di kawasan parlimen masing-masing.

"Ia termasuk pembinaan infrastruktur untuk kegunaan orang ramai seperti masjid, surau dan balai raya," ujar mereka.