KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen Pembangkang hari ini mendakwa Kerajaan tidak patuh kepada titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat perlu dibentang, dibahas dan seterusnya diungkaikan di Parlimen.

Dalam kenyataan bersama Ahli-Ahli Parlimen Parti Warisan (Warisan), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang dikeluarkan hari ini, mereka mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota kabinet meletakkan jawatan secara terhormat.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Anak Kujat; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; dan Ahli Parlimen Tuaran, Alfred Madius Tangau.

“Kami menjunjung kasih ke atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada 29 Julai 2021 lalu yang telah menyatakan pandangan Baginda Tuanku terhadap kepentingan serta keperluan untuk Institusi Parlimen Malaysia dimartabatkan dan Perlembagaan Persekutuan hendaklah sentiasa dipatuhi serta mengikut peraturan dan undang-undang negara.

“Kami juga mengambil serius berkenaan penzahiran rasa dukacita KDYMM Seri Paduka Baginda terhadap Yang Berhormat Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Tan Sri Idrus Harun yang telah gagal dalam menjalankan titah perintah dan perkenan Baginda Tuanku supaya cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat perlu dibentang, dibahas dan seterusnya diungkaikan di Parlimen.

“Keputusan dan tindakan Kerajaan Perikatan Nasional yang secara jelas ingkar dan tidak patuh kepada titah Baginda Tuanku, kami berpendirian bahawa Kerajaan Perikatan Nasional telah dengan sengaja menghalang dan mematikan kesuburan sistem demokrasi dan semak imbang yang perlu diangkat dan diterjemahkan melalui institusi Parlimen negara ini,” jelas kenyataan berkenaan.

Mesyuarat Khas Parlimen berlangsung empat hari bermula 26 hingga 29 Julai lalu dan sepatutnya berakhir hari ini.

Namun, ia ditangguhkan ke tarikh yang tidak dimaklumkan susulan pengesanan 70 kes positif COVID-19 di bangunan Parlimen.

Khamis lalu, Mesyuarat Khas Parlimen menjadi 'bingit' susulan kenyataan dikeluarkan Istana Negara yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen, sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan Baginda.

BACA: Mesyuarat Khas Parlimen: Ini kronologi perdebatan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat sejak 26 Julai 2021


[INFOGRAFIK] Kronologi perdebatan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat

Ia rentetan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang memaklumkan kerajaan bersetuju untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila ia tamat pada 1 Ogos dan Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

BACA: Penangguhan Mesyuarat Khas Parlimen membelakangi kenyataan media Istana Negara - Pembangkang

BACA: Pejuang dakwa kerajaan langgar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat



COVID-19 | Ada varian Delta dalam 4 sampel dari Parlimen

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham mengumumkan terdapat empat sampel RT PCR kes positif COVID-19 hasil daripada saringan yg dijalankan di Parlimen menunjukkan terdapat unsur berkaitan varian Delta atau varian Kappa.

Dr Noor Hisham menjelaskan keputusan itu dikeluarkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang menerima empat sampel daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh.