KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong berkemungkinan menjadi ahli Parlimen pertama yang bakal disingkirkan menerusi kaedah Simulasi Pilihan Raya Pecat (PRP).

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dalam satu kenyataan memaklumkan, Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Johor telah menghubungi mereka untuk tujuan itu susulan tindakan Choong yang mengumumkan keluar daripada Keadilan untuk menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Memandangkan pemohon memenuhi kriteria kami untuk memulakan petisyen PRP, Bersih 2.0 akan membuka petisyen kepada mereka untuk mengumpulkan sekurangnya tiga peratus tandatangan pengundi berdaftar seperti dalam daftar pemilih semasa PRU14 secara atas talian di P.158 Tebrau.

"Sekiranya ambang tiga peratus telah dicapai, dan disahkan oleh Bersih 2.0 sebagai pengundi sebenar di P.158, kami akan menjadi hos kepada forum atas talian di mana pempetisten dan Steven Choong akan diberi peluang untuk menyatakan alasan mengapa beliau perlu dipecat atau dikekalkan," kenyataan itu menyebut.

Sekiranya Choong tidak menerima tawaran ini, mereka akan bergerak ke peringkat PRP seterusnya di mana pengundi Tebrau boleh memberi undi YA (pecat) atau TIDAK (dikekalkan).

Tempoh pengundian adalah selama 30 hari dan semua pengundi berdaftar di Tebrau berhak untuk membuang undi.

Proses PRP akan dilaksanakan secara penuh melalui platform e-undi yang selamat yang direka khas oleh ReGov Technologies.

Pengundi boleh menyertai proses ini dengan selamat dan mudah selagi mempunyai akses internet dan telefon pintar.

"Untuk PRP dianggap berjaya, undi YA mesti melebihi undi TIDAK, dan lebih daripada 10 peratus pengundi berdaftar telah mengambil bahagian dalam simulasi ini.

"Kami akan menyediakan pautan untuk petisyen tiga peratus dan mengumumkan pemulaan peringkat petisyen dalam masa tujuh hari," tambahnya lagi.