Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin menerima sambutan hangat di media sosial dan seolah-olah telah menjadi selebriti dengan menggunakan gelaran “Bossku”.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi badan penyelidik pilihan raya Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata populariti tersebut tidak akan diterjemahkan sebagai undi buat Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini.

Mohammad Redzuan mengakui Najib masih mempunyai pengaruh tetapi dalam kalangan ahli UMNO, sesetengah mereka melihat Najib sebagai liabiliti.

“Ada yang melihat beliau sebagai liabiliti dan saya yakin dalam perancangan UMNO di PRK Semenyih, ada yang akan membenarkan beliau terlibat ataupun tidak membenarkan penglibatannya.

“UMNO akan berhati-hati untuk membenarkan Najib turut berkempen untuk calon BN kerana mereka cuba memberikan imej dan jenama yang baharu kepada UMNO.

BACA: PRK Semenyih: PH mendahului dengan 9 peratus tetapi... - Kajian IDE

BACA: 'Najib tambah nilai kepada UMNO, why not 'Malu Apa Bossku' - Mohamad

“Mereka juga lebih cenderung bekerjasama dengan parti PAS daripada parti MCA dan MIC kerana ia lebih memanfaatkan dari segi mendapatkan undi,” kata Mohammad Redzuan pada sidang media IDE yang berjudul “PRK N24 Dun Semenyih: Apa Pilihan Pengundi” di Auditorium Institut Darul Ehsan di Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Tambahnya, acara yang disertai Najib lebih ramai dihadiri ‘mat rempit’ dan golongan tersebut hanya hadir untuk berseronok dan berhibur.

“Jika Najib mengadakan perhimpunan secara besar-besaran, tidak ramai yang akan hadir.

“Seperti di PRK Cameron Highlands, Najib hanya datang, berswafoto dan memuat naik gambar di media sosial,” tambahnya.