PERATUSAN keluar mengundi kedua terendah dicatat setakat ini.

Itu data yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai PRK Dun Sungai Kandis yang diadakan, kelmarin.

Meskipun PKR berjaya mempertahankan kedudukan di kubu kuat parti itu, jangkaan SPR sekurang-kurangnya 80 peratus pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka, jauh meleset!

Ramalan itu jauh tersasar selepas PRK Sungai Kandis hanya menyaksikan peratusan keluar mengundi 49.9 peratus (kedua terendah selepas PRK Penanti 31 Mei 2009 yang mencatat 46 peratus keluar mengundi) walau diadakan pada hari Sabtu.

Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (15,247) menewaskan dua pesaingnya; dari BN, Datuk Lokman Noor Adam yang memperoleh 9,585 undi dan calon Bebas, K.Murthy yang hanya menerima 97 undi.

Mohd Zawawi menang dengan majoriti 5,842 undi berbanding 12,480 pada PRU14 lalu sewaktu kerusi itu ditandingi Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei yang ketika itu turut ditentang BN dan calon Bebas.


Jarak PRK terlalu dekat

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani tidak menolak kemero­sotan jumlah pengun­di disebabkan jarak PRK dan PRU yang terlalu dekat.

Mohd Azizuddin turut merujuk kepada keyakinan rakyat bahawa PH mampu mengekalkan kemenangan kerusi itu walaupun tanpa mereka keluar mengundi.

“Kemerosotan itu ada kaitan dengan orang tiada mood untuk keluar mengundi disebabkan jarak masa antara PRU dan PRK terlalu hampir.

“Faktor lain disebabkan persepsi pengundi menyaksikan PH menang majoriti besar pada PRU14. Orang PKR yakin tak keluar mengundi pun parti itu boleh menang, begitu juga dengan penyokong Pas dan BN jika keluar mengundi PKR tetap akan menang,” katanya.

Ditanya penurunan peratusan pengundi kemungkinan disebabkan protes ahli Pas ekoran tiada calon parti bertanding, Mohd Azizuddin berkata, beliau tidak nampak perkara itu berlaku yang mengaitkannya dengan satu bentuk sabotaj kepada calon BN.

“Saya tak yakin jika PRK Sungai Kandis ini merupakan bentuk kerjasama antara Pas dengan Umno... jika dicampur undi Pas dan BN semasa PRU lalu masih gagal memberikan kemenangan calon BN.

“Namun jumlah 9,585 undi untuk BN dianggap satu angka yang besar dibandingkan jumlah pengundi yang keluar rendah. Jadi nak kata berlaku protes tak nampak perkara itu berlaku,” katanya.


Tiada kaitan janji 100 hari PH

Beliau turut menolak dakwaan penurunan itu ada kaitan dengan pembentukan kerajaan PH di peringkat pusat dan janji 100 hari PH.

“Isu itu memang jadi mainan kempen tapi tak memberikan kesan mempengaruhi undi. Jika orang marah PH mereka akan keluar mengundi untuk menangkan BN tapi keadaan seba­liknya berlaku kerana tahu PH tetap akan menang.

“Namun, undi bukan Melayu dilihat faktor penyumbang kepada kemenangan PH. Ternyata keputusan Pas tidak letak calon masih belum berjaya memenangkan BN,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, wujud persoalan punca kemerosotan jumlah pengundi dalam PRK Sungai Kandis.

“Adakah disebabkan ahli Pas tidak mahu kerjasama dengan Umno BN. Ia akan diuji lagi di Seri Setia bila calon Pas pula bertanding.

“Kemerosotan pengundi ada kaitan dengan faktor dua penjuru (BN PH) dan Pas tidak meletakkan calon. Boleh jadi kerana Pas tidak bertanding maka penyokongnya tidak keluar,” katanya.


Pembangkang mungkin perlu kaji kerjasama

Malah Sivamurugan tidak menolak kemungkinan kurangnya peratus keluar mengundi kerana keyakinan rakyat terhadap kerajaan sedia ada dan mereka tidak nampak PRK akan memberikan peru­ba­han besar kepa­da keputusan ne­geri.

“PRU14 baru berakhir dan kepu­tu­sannya menun­jukkan keme­nangan besar kepada PH selain faktor pengundi luar tidak pulang mengundi serta isu dibawa BN dalam kempen tidak memberikan impak.

“Lazimnya jika peratusan keluar mengundi rendah akan memberi kelebihan kepada BN tetapi tidak kali ini. Jelas sekali isu dibawa memainkan peranan penting dan corak kerjasama dengan parti pembangkang perlu dinilai,” katanya.

Jelasnya, BN perlu membuat bedah siasat cara kempen yang digunakan sama ada ia masih relevan atau sebaliknya.

“Tumpuan calon BN adalah pada isu agama, bahasa dan raja serta isu-isu janji PH. Adakah isu ini gagal menarik pengundi keluar khususnya?

“Barangkali penyokong setia pada parti kekal sokong BN tapi masih gagal meraih sokongan luar dari kelompok mereka,” katanya.