Calon Pakatan Harapan dan Pas akan bersaing bagi menangani isu miskin bandar yang ketika ini menjadi antara masalah utama di Seri Setia.

Walaupun mempunyai matlamat yang hampir sama, kedua-duanya cuba menunjukkan kelainan dalam kempen yang baharu sahaja bermula selepas penamaan calon semalam.

Antara kawasan yang diberi tumpuan ialah Desa Mentari, Kampung Lindungan dan Lembah Subang.

Program Inisiatif Rakyat (IPR) juga akan dilaksanakan untuk manfaat pengundi.
Bagi calon PH, Halimey Abu Bakar, beliau akan menggunakan kelebihannya yang pernah berkhidmat sebagai Ahli majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi membantu menyelesaikan setiap permasalahan dengan baik.

"Isu kemiskinan bandar dan keciciran pelajaran anak-anak, kita akan bantu. Kelebihan saya, kita kerajaan memerintah sudah tentu segala bantuan akan dipermudahkan lagi," katanya.

Beliau juga akan mempergiatkan usaha melaksanakan Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi menangani masalah kemiskinan di Seri Setia.

Pada masa sama, beliau telah menetapkan 'Memacu Kesejahteraan Bandar' sebagai tema perjuangan dan visi utama pada PRK Seri Setia.

Isu kemiskinan dan PPR adalah antara tumpuan utama calon Pas.
Sama seperti Halimey, calon Pas Dr Halimah Ali juga melihat isu miskin bandar dan masalah projek perumahan rakyat perlu ditangani dengan berkesan.

Bagaimanapun, menurutnya, kelebihannya yang pernah menjadi exco kerajaan negeri akan membolehkan beliau membawa suara rakyat ke saluran yang sepatutnya.

"Semasa zaman (pentadbiran) Tan Sri Khalid Ibrahim (bekas Menteri Besar Selangor), beliau sangat susah nak luluskan peruntukan. PKR juga pening dengan beliau kerana susah meluluskan peruntukan.

"Namun kerana hujah, fakta, desakan saya yang kuat, rasional saya diterima dan itu saya gunakan untuk kebaikan orang Seri Setia," tambahnya.