Dakwaan kononnya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengosongkan pejabatnya, seperti yang dilaporkan dalam satu portal hari ini, tidak tepat.

Menurut sumber, tidak ada sebab untuk bekas timbalan perdana menteri itu melakukan perkara sedemikian kerana beliau masih lagi Presiden yang sah.

“Laporan itu tidak benar, tidak ada kosongkan pejabat pun. He is still the President (Beliau masih presiden),” menurut sumber itu ketika dihubungi Astro AWANI malam ini.

Sebuah portal hari ini memetik sumber lain sebagai berkata, Ahmad Zahid telah mengemas barang-barang peribadi di pejabatnya sebaik mengumumkan keputusan menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Laporan itu turut menyebut, tular gambar Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam yang pertama kali dipengerusikan Mohamad, tanpa potret Ahmad Zahid di belakangnya.

Mengulas perkara itu, Astro AWANI diberitahu, walaupun gambar itu adalah benar, ia bukannya seperti yang didakwa.

Sebaliknya sumber itu memberitahu, potret itu diturunkan untuk digantikan dengan yang baharu.