PUTRAJAYA: Beberapa lagi ahli Parlimen pembangkang dijangka mengikut jejak langkah Datuk Dr Xavier Jayakumar untuk meninggalkan parti masing-masing.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau difahamkan seramai tujuh hingga lapan orang lagi ‘kawannya’ memberi indikasi dan bersedia menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tindakan tersebut, katanya kerana prestasi baik yang ditunjukkan kerajaan khususnya dalam menyelesai isu COVID-19.

“Sebenar lebih ramai pihak termasuk ahli Parlimen yang bersedia untuk memberikan sokongan kepada kerajaan PN.

“Saya difahamkan selain daripada Dr Xavier, ada lagi tujuh atau lapan orang lagi kawan-kawan saya ahli Parlimen yang ada memberi indikasi bersedia menyokong (kerajaan).

“Yang penting, kalau kerajaan kita ini berprestasi, maka akan ramai bersedia menyokong. Sebab itu tugas kerajaan sekarang adalah terus fokus dengan melaksanakan tanggungjawab yang ada termasuk tentang COVID-19, pemulihan ekonomi, perpaduan kaum serta kestabilan politiknya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas program ‘walkabout’ ke Kiosk Usahawan Muda Kota dan Anjung Floria Putrajaya, di sini.

Bagaimanapun, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan enggan mendedahkan identiti ahli Parlimen berkenaan.

Sebaliknya jelas beliau, dalam politik yang bersifat dinamik, perkara itu tidak mustahil berlaku.

“Tidak payahlah nanti, saya sebut ada pula orang yang menafikan tetapi realitinya begitulah.

“Dalam politik ini dinamik, kalau ada orang cakap nak keluar, ada orang nak masuk.

“Ada dengar tak orang cakap nak keluar, nak mufaraqah. Kalau bila cakap nak keluar dalam politik, dia macam hukum fiziknya, setiap tindakan ada kesannya,” ujar beliau lagi.

BACA: Xavier Jayakumar letak jawatan Naib Presiden, ahli PKR

BACA:Dijangka lebih ramai pemimpin pembangkang sertai Bersatu, PN - Faizal Azumu

Annuar juga mengakui kerajaan PN tidak sunyi daripada masalah, namun kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sedaya upaya melakukan yang terbaik dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan pemulihan semula ekonomi akibat COVID-19.

“Sekarang kita dapat mula melihat hasilnya, hatta perang terhadap COVID-19 juga nampaknya kita dah mula menuju ke arah kemenangan, yang mana angka makin lama makin menurun,” ujarnya beliau lagi.

Terdahulu, Dr Xavier yang juga Naib Presiden PKR mengumumkan keluar parti yang disertainya sejak tahun 1998, berkuat kuasa serta merta.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu juga mengumumkan akan menjadi ahli Parlimen bebas dan menyokong kerajaan PN.

Ia merupakan perkembangan terbaru selepas dua ahli parlimen PKR, Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau) meninggalkan parti itu pada penghujung Februari lalu.