KUALA LUMPUR: Rakyat perlu sentiasa mendoakan situasi krisis politik negara tidak berlarutan dan satu penyelesaian tercapai segera.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, semua pihak juga perlu berdoa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terus diberikan kebijaksanaan dalam membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

"Pelbagai ramalan yang diutarakan penganalisa mahupun pemerhati politik tentang apa yang akan berlaku seterusnya - dari ramalan Perdana Menteri baru "interim" sehinggalah "Kerajaan minoriti", yang mana kedua-duanya tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Tetapi dari pemahaman saya, tidak bermaksud suatu penyelesaian mirip kepada kedua-dua itu mustahil dilaksana mengikut lunas Perlembagaan.

"Maka dalam senario di mana PRU segera tidak menjadi pilihan, dan di mana PM tidak lagi ada majoriti Dewan, pengaruh besar dalam menentukan senario apa yang terbaik, dimiliki Yang di-Pertuan Agong, katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA: Pemuda UMNO cadang pembentukan Kabinet Perang

BACA: UMNO tarik sokongan: Situasi sekarang hampir sama 'Langkah Sheraton' - Penganalisis

Jelasnya, UMNO sentiasa meletakkan insititusi Raja Berperlembagaan pada tahap yang tinggi.

"Kita wajar memiliki penuh keyakinan bahawa Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara akan melaksanakan peranan dan kuasa Baginda sebaiknya berlandaskan apa yang tertakluk di dalam Perlembagaan serta mengambil kira segala sudut pertimbangan," katanya.