Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS, iaitu Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin telah digantung keahlian berkuatkuasa hari ini (Sabtu).

Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, kedudukan mereka sebagai ADUN Hulu Kelang dan ADUN Morib yang mewakili PAS masih kekal kerana mereka bukan dipecat.

Ia berikutan tindakan Saari dan Hasnul menyatakan sokongan kepada ADUN Kajang, Dr Wan Azizah bagi jawatan Menteri Besar Selangor, Ogos lalu.

“Mesyuarat telah mengambil keputusan iaitu berdasarkan kepada fasal 82 (6) perlembagaan PAS, iaitu jawatankuasa PAS Pusat membuat keputusan mengenakan tindakan tatatertib ke atas mereka.

“Jawatankuasa memutuskan bahawa kedua-duanya digantung selama satu tahun. walau bagaimanapun kedua-duanya boleh merayu berdasarkan fasal 83(4 & 5) pindaan 2011, mengemukakan rayuan bertulis kepada setiausaha Majlis Syura Ulama dalam tempoh 15 hari daripada surat ini,” kata Mustafa pada sidang media di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Jelas Mustafa, kedua mereka tidak boleh mewakili PAS atau bergiat sebagai ahli parti dalam tempoh setahun penggantungan itu.

“Masih.. dia masih ahli sebab dia tidak dipecat,” kata Mustafa ketika ditanya mengenai status mereka sebagai ADUN.

Ogos lalu, Saari dan Hasnul merupakan antara 30 ADUN Pakatan Rakyat di Selangor yang menyatakan sokongan kepada Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Bagaimanapun, tindakan itu disifatkan PAS sebagai mengambil pendirian dan sikap bersendiri tanpa menurut tatacara dan arahan yang telah di tetapkan oleh parti.