KUALA LUMPUR: Individu yang baru direman dan belum berdepan sebarang pertuduhan tidak wajar diaibkan dengan pemakaian baju lokap serta gari ketika dibawa ke mahkamah.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantung pemakaian baju oren bagi orang kena siasat (OKS) merupakan satu langkah positif.
"Apabila mereka dipakaikan baju kuning, digari dan sebagainya, ia memberi gambaran seolah-olah mereka sudah bersalah atau sedang dibicarakan di mahkamah.
“Kita perlu menyembunyikan aib dan tidak boleh mengaibkan seseorang yang hanya dibawa ke mahkamah untuk lanjutan reman, saya rasa tindakan menggantung pemakaian itu serta-merta merupakan satu langkah yang positif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas beruacap pada Ceramah Perdana Jubli Intan 75 Tahun Pas Pusat di Kota Bharu, lewat malam tadi.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, individu yang ditahan SPRM tidak perlu lagi memakai baju oren ketika dibawa ke mahkamah bagi prosiding reman.
Anwar berpandangan, individu yang memberikan kerjasama sepenuhnya dalam sesuatu siasatan tidak seharusnya dipakaikan baju berkenaan ketika dibawa ke mahkamah sebelum didakwa secara rasmi.
Pada hari sama, SPRM mengumumkan penggantungan pemakaian baju oren bagi OKS yang dibawa ke mahkamah untuk tujuan permohonan reman, berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, langkah itu diambil susulan perkembangan terkini dan saranan semasa berkaitan tatacara pengendalian OKS, khususnya ketika mereka dibawa ke mahkamah.