KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang bermula esok.

Ini sekaligus menangkis dakwaan pihak membangkang yang mengatakan kerajaan negeri sengaja melambat-lambatkan pembentangan RUU berkenaan.

"Dalam sidang DUN kali ini, kita akan menggubal perlembagaan negeri kita untuk kita perkenalkan RUU Anti Lompat Parti pada minggu depan," katanya ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parti Bersatu Sabah di Kota Kinabalu pada Ahad.

Sementara itu, Hajiji dalam satu kenyataan media hari ini berkata, RUU yang melibatkan pindaan perlembagaan negeri seperti anti lompat parti memerlukan kelulusan daripada Yang Dipertua Negeri dan Raja sebelum boleh dibentangkan di DUN.

Jelasnya, RUU itu juga memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di DUN supaya diluluskan.

"Saya yakin RUU itu akan mendapat sokongan daripada ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).

"Saya juga menggesa agar wakil pembangkang untuk menyokong RUU itu dan memperjuangkan supaya diluluskan di Sabah," tegasnya.

Tambah Hajiji, RUU Anti Lompat Parti merupakan antara empat RUU yang akan dibentangkan pada mesyuarat pertama penggal Ke-4 DUN Ke-16.