KUALA LUMPUR: Dua perspektif perlu dilihat bagi menyelesaikan kelompangan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berpandangan, perspektif tersebut membabitkan keanggotaan ahli parti dengan parti gabungan; dan kedudukan seseorang Ahli Dewan Rakyat dalam parti gabungan.

Selain itu, beliau berkata beberapa mekanisme lain boleh dipertimbangkan dalam memperkasakan undang-undang lompat parti termasuk Akta Pecat Ahli Parlimen, seperti yang dicadangkan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said.

"... dan juga bagaimana akta-akta sedia ada, yang barangkali boleh dikuatkuasakan dan saling berhubungan supaya ia boleh menjadi perlindungan mekanisme yang ampuh bagi menyokong kepada Akta Anti Lompat Parti.

"Ini kerana, hal ini jelas tidak akan selesai sekiranya tidak ada satu penyelesaian secara tuntas bagi membolehkan tidak berlaku lagi fenomena ini (beralih sokongan).

"Ini jelas, kalau kita lihat empat ini (Ahli Parlimen Perikatan Nasional) sudah boleh melakukan, tidak mustahil akan ada yang akan menyusul selepas ini memandangkan tempoh Parlimen yang masih panjang dan keterdesakan mereka dalam konteks sumber bagi kawasan," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Selain itu, Mujibu mencadangkan agar akta melibatkan rasuah boleh diselarikan bagi membolehkan Akta Anti Lompat Parti benar-benar memiliki 'taring'.

Ini sekali gus, mengekang cubaan mana-mana Ahli Dewan Rakyat melompat parti sehingga mandat mereka berakhir pada pilihan raya seterusnya.

Jumaat lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan, menggesa supaya Akta Anti Lompat Parti dikaji semula berikutan terdapat kelemahan susulan tindakan empat Ahli Parlimen parti itu yang menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri, namun kekal bersama parti.

Empat pemimpin terbabit ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik