Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau merupakan peringatan kepada pimpinannya untuk terus memberi perhatian terhadap kebimbangan rakyat, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyifatkan keputusan tersebut sebagai keputusan rakyat.

"Pakatan Harapan (PH) dan KEADILAN menghormati keputusan tersebut dan mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Kekalahan ini merupakan peringatan kepada pimpinan PH untuk terus memberi perhatian yang sewajarnya terhadap kebimbangan rakyat berhubung isu ekonomi dan kos sara hidup," katanya.

Bagaimanapun, beliau menyatakan keyakinan bahawa PH akan kembali bangkit mendapat sokongan rakyat selepas ini.

"Terima kasih juga kepada jentera KEADILAN serta parti komponen PH yang lain kerana berjaya menunjukkan kematangan dan contoh baik ketika sesi kempen," katanya lagi.

Terdahulu, calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mengekalkan kerusi DUN Rantau dengan majoriti 4,510 undi.

BACA: Tok Mat kekalkan kerusi DUN Rantau

Mohamad Hasan menerima 10,397 undian mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram yang sekadar mendapat 5,887 undian.

Dua lagi calon, R Malarvizhi (BEBAS) hanya meraih 83 undi manakala seorang lagi calon BEBAS Mohd Nor Yassin menerima 79 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Rantau, Mohd Nizam Tajul Arus di Dewan SJK (C) Bandar Seri Sendayan pada Sabtu.